Tuesday 20 March 2012

Teman biasa tapi mesra

Rutin sebagai seorang guru. Pagi-pagi lagi seawal jam 7.15 pagi tugas telah bermula. Menguruskan perhimpunan pagi dan memastikan pergerakan pelajar naik ke kelas sebelum jam 7.25 pagi. Kemudian terus bergegas ke kelas untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Kadang-kadang waktu pengajaran berterusan sehingga jam 9.30 pagi. 

Dengan alasan tidak berselera untuk bersarapan sebelum jam 7 pagi,  biasanya pukul 9.30 lah perut akan menerima makanan dan minuman. Agak zalim juga tuan punya perut. Tapi selalunya tuan punya badan akan memenangkan mulut berbanding dengan perut.

Perut dan mulut itu, perut dan mulut sayalah. Baru saya sedar yang tidak adilnya saya sebagai seorang tuan kepada mulut dan perut..(apa yang saya merepek ni?)

Pagi ini, selepas mengajar berterusan bermula jam 7.25 pagi sehingga 9.15 pagi, perut saya memang berkeroncong minta diisi. Pukul 9.30 baru saya menjejakkan kaki ke kantin untuk menjamu selera.

Kantin!!!!

Memang punya keistimewaan dan agenda yang tersendiri. Bukan sebab hidangannya.


Di sinilah kita boleh mendengar luahan kawan kita yang tension atau bermasalah dan kita sebagai kawan biasanya bertindak sebagai kaunselor atau motivator yang memberi pelbagai idea untuk teman yang kesusahan.

Di sini juga tempat  menambah dosa-dosa apabila mendengar umpatan-umpatan dan   mendapat sama sahamnya kerana tidak membela otrang yang diumpat malah kadang-kadang menambah-nambak seperti menambah lauk yang pelbagai kat kantin.

Di kantin juga tempat berkongsi cerita-cerita gembira berkaitan keluarga, kerja dan sebagainya.


Dan yang paling best, kantin adalah tempat menghilangkan kepenatan dan keserabutan otak kerana kita bertemu dengan teman-teman yang memiliki humor yang tersendiri dan mampu membuatkan teman di sekeliling ceria dan gembira.

Saya memang kagum dengan orang-orang sebegini. Memiliki ciri-ciri yang menarik dan tidak membosankan. Malah boleh membuatkan saya happy. Kata-kata yang simple tetepi tidak menyerabutkan jiwa.

Dale Carniege, seorang pakar motivasi telah membuat kajian lebih 50 tahun ke atas insan-insan yang popular mendapati antara ciri-ciri orang yang berpengaruh adalah  tidak bercakap `pasal saya' tetapi topik percakapan  lebih tertumpu kepada orang yang di sekeliling.

Menurut Dale Carniege orang yang membosankan adalah orang selalu menceritakan kelebihan diri sendiri

Selain itu, orang yang mampu menarik ramai orang yang ingin berkawan dengannya adalah orang yang sentiasa membuatkan orang lain berasa gembira dan selesa.

Cara untuk menarik ramai kawan adalah sentiasa  menunjukkan sikap prihatin dan sentiasa memuji atau mengeluarkan kata-kata manis tentang orang di samping  dan bukannya menunjukkan kelebihan diri sendiri.




Friday 16 March 2012

Permainan sewaktu ketika dahulu

Masa saya kecil dahulu tak ada mainan seperti budak-budak zaman sekarang yang menggunakan teknologi seperti play station, internet games, computer games dan lain-lain. Permainan dahulu lebih berbentuk realiti dan lasak serta melibatkan ramai orang.

Permainan dahulu berbentuk `outdoor' yang dilakukan di luar rumah dan bebas mengambil sumber-sumber alam untuk dijadikan bahan mainan. Tidak seperti sekarang ini yang mana alat permainan dibeli dari kedai dengan harga yang mahal.

1. Main masak-masak atau kawin-kawin
Permainan ni agak popular dalam kalangan budak-budak perempuan. Saya, sepupu dan beberapa orang jiran bermain seperti sebuah keluarga.

Ada yang menjadi emak, menjadi kakak atau adik. Kadang-kadang ada juga sepupu lelaki turut bermain bersama dan berwatak sebahgai bapa atau suami. Kalau tak ada budak lelaki, salah seorang dari kami akan menjadi lelaki.

Semasa bermain kami akan pergi mengutip daun-daun dan bunga- bunga di sekeliling rumah untuk dimasak.
Nenek saya dahulu tak kisah pokok bunga dijahanamkan oleh kami.  Kebanyakan pokok bunga itu tumbuh liar di sekeliling rumah.

Tak seperti sekarang ini, pokok bunga dibeli dari tapak-tapak semaian dan dijaga dengan rapi.

Macam-macam makanan olok-olok yang kami masak dengan menggunakan periuk atau kuali lama  yang telah rosak. Pasir juga menjadi salah satu bahan masakan kami.  Kemudian kami akan makan olok-olok bersama-sama.

Apabila telah besar sedikit (saya rasa dalam darjah enam). Pernah kami menyeludup beras kat rumah nenek dan kami masak. Lauknye pulak kami ambil bawah saji kat dapur.



2. Main congkak

Sekarang pun masih ada lagi permainan ini. Tak luput dek zaman. Bezanya adalah dahulu lubang congkak dibuat dengan mengorek tanah untuk dijadikan lubang-lubang congkak. Buah congkak pula adalah biji getah,  bukannya guli seperti sekarang. Apabila bermain kuku akan menjadi hitam legam terlekat tanah. Kotor. sebab tulah kot budak-budak dahulu selalu terkena cacing sebab cara bermain yang sebegitu.



3. Main kapal terbang (dekcok)

Untuk bermain permainan ini,  kami melukis petak-petak berbentuk kapal terbang kat atas tanah. Kami akan memilih batu atau serpihan atap untuk dijadikan `buah' (Kol). Pemilihan kol yang baik akan mempengaruhi permainan. Kol tersebut akan dibaling ke dalam kotak-kotak mengikut peringkat iaitu dari bawah sampai ke atas. Selepas kol dibaling, kami akan melompat-lompat dengan sebelah kaki di dalam kotak-kotak kosong yang tiada kol.

Saya rasa orang sebelah pantai barat semenanjung memanggil permainan ini teng-teng.

  


4. Main sorok-sorok

Main sembunyi-sembunyi. Siapa yang jadi ibu kena tutup mata dan yang lain akan pergi bersembunyi di sekitar rumah. Orang yang menjadi ibu akan mengira sehingga nombor yang telah ditetapkan seperti 50. Selepas selesai mengira ibu akan mencari kawan-kawan yang bersembunyi sehingga dapat. Jika tidak menjumpai semua ahli yang bermain dia perlu menjadi ibu semula dan nombor kiraan akan meningkat.  Saya ingat saya pernah menangis kerana perlu mengira sehingga 100 kerana tidak bertemu dengan salah seorang sepupu saya yang menyorok entah di mana. Rupa-rupanya dia balik makan nasi kat rumah dia. Geram betul masa tu.




5. Main galah panjang

Permainan ini memerlukan 2 pasukan yang terdiri daripada lebih kurang lima orang satu kumpulan. Kumpulan A perlu melepasi garisan yang dijaga oleh kumpulan B. Permainan ini memang menyeronokkan.




6. Main getah

Saya tak ingat nama permainan ini. Permainan ini memerlukan getah urat yang banyak. Getah urat di sambung sehingga panjang. Kemudian setiap orang perlu melompat getah dari paras lutut sehingga kepala. Paras lutus sehingga dada perlu dilompat tanpa boleh terkena getah tersebut.


 


7. Main skipping

Main permainan ini juga menggunakan getah atau tali skipping. Permainan ini diiringi dengan lagu-lagu tertentu. Ada 2-3 jenis lagu yang saya ingat sehingga sekarang tetapi saya sendiri pun tak faham maksudnya kerana tak tahu bahasa apa sebenarnya yang dinyanyikan. Hahahah..




8. Main batu seremban

Kat tempat saya, permainan ini dikenali sebagai selambut. Permainan ini menggunakan batu-batu yang dikutip di sekeliling rumah. batu dilambung dan di sambut. Bilangan batu biasanya ganjil seperti 5, 7 atau sembilan.




*Gambar-gambar ni saya cari dari google kat internet

Thursday 15 March 2012

Kenangan yang tidak mungkin berulang



Tadi saya terbaca satu artikel berkaitan tuah orang yang lahir pada tahun 1970an dan 1980an. Saya kira orang yang lahir tahun 1960an juga bertuah.

Saya akui memang saya bertuah kerana lahir pada tahun 1970an kerana saya dapat merasai dua zaman yang berbeza iaitu zaman yang belum menggunakan teknologi moden dan zaman yang serba canggih sekarang ini.

Mungkin anak-anak yang lahir era tahun 2000 ke atas tidak dapat lagi merasai kehidupan yang cukup indah itu.

Saya akan cuba senaraikan apa yang saya ingat.

1. Mandi di perigi menggunakan timba. 

Saya sempat mandi di perigi di rumah arwah nenek saya di kampung. Walaupun bekalan air paip ada di rumah nenek saya, tetapi bila balik bercuti memang itulah acara wajib yang mesti dibuat iaitu mandi di perigi bersama adik-adik.

Kami perlu menceduk air dari perigi dengan menggunakan timba. Timba itu disangkut pada buluh panjang atau diikat dengan tali. Menimba air yang disangkut dengan buluh tu memang susah bagi saya. Terkial-kial untuk mengambil air.

Biasanya sikit aje air yang dapat saya ceduk. Selalu juga timba tu terlepas ke dalam perigi. Maka, terpaksalah mengait timba itu sampai dapat. 

Air perigi memang sejuk sehingga ke tulang sum-sum tetapi selepas mandi badan berasa segar bugar. Memang best!

Selain itu, saya juga pernah membasuh pinggan mangkuk dan pakaian di tepi perigi. Yang ini memang penat. Terpaksa menimba air banyak-banyak untuk kerja mencuci.  Masa tu tak ada sinki macam sekarang ni. Kena duduk atas bangku kecil dan membasuh menggunakan besen besar.


 

2. Menonton menggunakan TV hitam putih

Saya sempat juga menonton TV yang gambarnya hitam putih. Juga kat rumah nenek saya.  Masa tu umur saya mungkin 3 atau 4 tahun.   Rumah nenek saya antara rumah yang ada TV  di kampung tersebut. Bila ada cerita hindustan maka ramailah saudara mara datang untuk menonton TV. Penuh kat ruang tamu.

Saya ingat lagi apabila ayah saya mula-mula membeli TV warna (jenama Siera), saudara mara dari kampung beramai-ramai datang ke rumah kami untuk menonton TV berwarna. Macam pesta jadinya. Indah betul kenangan itu.


3. Sterika Arang

Seterika menggunakan arang kat rumah nenek saya. Masukkan arang dalam seterika dan gosok pada baju. Saya sempat guna beberapa kali sahaja masa balik rumah nenek. Lepas tu makcik saya telah membeli seterika letrik. jadi, seterika arang itu tidak lagi digunakan.



4. Malam ditemani cahaya pelita dan menggobek sireh

Masa saya kecil, kampung nenek saya di sebelah ayah belum dibekalkan dengan bekalan elektrik. Pada waktu malam penduduk kampung menggunakan pelita sebagai sumber cahaya. Jadi, apabila balik ke rumah nenek, saya dapat merasai bagaimana hidup dengan ditemani pelita. Apabila senja menjelang nenek akan meminta kami mengisi pelita dengan minyak tanah. Kemudian menyalakan pelita dengan menggunakan mancis gores. 

Apa yang saya ingat, bau minyak tanah akan menyelubungi rumah dan melekat pada baju tidur kami sekeluarga. Pada masa itu, lepas isyak aje mak mengarahkan kami tidur kerana tiada aktiviti lagi yang perlu dibuat.

Walau bagaimanapun, rumah nenek saya selalu dikunjungi oleh saudara mara atau jiran tetangga selepas solat isyak. Mereka datang berkumpul di tangga untuk berbual-bual  sambil menghisap rokok daun dan memakan sireh.

Saya dan abang saya selalu berebut-rebut untuk menggobek sireh untuk tetamu yang hadir. Sebelum menggobek, daun sireh disapu dengan kapur, kemudian diletakkan gambir dan buah pinang yang diracik.  Selepas itu, daun sireh itu akan dilipat dan dimasukkan ke dalam gobek untuk dihancurkan sebelum mereka makan. 



 Gobek yang digunakan untuk menghancurkan campuran sireh, gambir dan pinang


 Cekati. Alat ini digunakan untuk meracik buah pinang


5. Dapur Arang

Walaupun ayah saya telah membelikan nenek saya dapur gas, namun arwah nenek saya tetap menggunakan dapur arangnya. Agaknya itulah jiwa dan kebiasaanya.

Dapur arang menggunakan kayu api. Apabila balik ke rumah arwah nenek, kami adik beradik menolong nenek mengangkat kayu api dari bawah rumah ke dapur. Untuk menghidupkan api, arwah nenek menghidupkan api menggunakan mancis gores meniup bara api menggunakan buluh kecil. Saya pernah cuba tapi tak pernah berjaya menghidupkan api.

Makanan atau air yang dimasak dengan dapur kayu berbau asap. Saya boleh je minum. Sedap juga rasanya.

Periuk belanga yang digunakan semuanya hitam legam dek kerana dibakar oleh api. Saya yang menyibuk kat dapur menolong mak memasak juga berbau asap.

 Lebih kurang macam ni lah rupa dapur arang nenek saya dulu. Gambar ni saya google aje.


6. Mengukur kelapa


Anak saya pun tak kenal benda ni.

Orang kat tempat saya panggil benda ni `kore'.  Alat ini digunakan untuk mengukur kelapa.

Lama juga saya sempat menggunakan `kore' untuk mengukur kelapa.  Boleh dikatakan saya pakar juga mengukur kelapa menggunakan `kore'. Semenjak saya berumur lebih kurang 10 tahun sehingga remaja saya ditugaskan mengukur kelapa. Boleh dikatakan setiap hari saya mengukur kelapa. Sekarang ni, saya tidak lagi merasai kenikmatan ber`excercise' menggunakan `kore'.


7. Mendengar lagu menggunakan kaset

Suatu ketika dahulu, kaset merupakan alat hiburan  seperti CD atau DVD sekarang ni. kaset diputar pada pemain kaset di radio untuk mendengar lagu-lagu artis kegemaran.  Kaset dibuat daripada tali yang nipis dan panjang. Kalau tersalah tarik, tali kaset akan rosak dan nyanyian artis akan menjadi sumbang.  Tapi dulu saya suka memusing-musing tali kaset. Dulu, sesiapa yang boleh menyimoan banyak koleksi kaset artis-artis dikira hebat dan glamour.

Tali kaset


 Kulit luar kaset yang menarik


8.   Walkman

Walkman. Bukannya lelaki berjalan tetapi alat seperti MP3 sekaranglah. Alat yang digunakan untuk pemain tali kaset mudah alih. Walkman akan disambung pada headphone. Tidak lama selepas itu barulah earphone dijual.


 Jenama Sony memang popular masa tu. Kalau dapat guna walkman sony memang `vogue'.


9. Ubat nyamuk

Saya pun dah tak guna ubat nyamuk ni. Digunakan untuk membunuh nyamuk bukan untuk mengubat nyamuk supaya sihat



**Itu antara yang saya ingat. Kalau ingat yang lain lagi nanti saya akan postkan lagi..apa2 pun kenangan ini takkan berulang lagi.. saya merindui saat-saat itu.

Tuesday 13 March 2012

Rindu Yang Mendalam

Memang sukar melelapkan mata malam tadi, agaknya hati dilanda kerinduan yang mendalam. Puas pusing ke kiri dan pusing ke kanan mata tidak jua mahu terlelap. Sedangkan kepala sudah berdenyut-denyut kesakitan.

Saya selalu mendengar kata-kata berkaitan rindu.

`Bila rindu kusebut namamu' -
`Rindu membuatku tidak menentu'
`Rinduku padamumembuatku tidak menentu'
`Ku merinduimu setiap hari'


Akhirnya, saya bangun berwuduk dan mendirikan solat witir. Pesan suami, solat witir sebelum tidur tapi itu yang jarang saya lakukan. Usai solat dan sedikit berwirid, jiwa menjadi tenang bagaikan melayang.

Kerinduan menggamit pergi, akhirnya tidur tanpa diulit mimpi. Tidur yang lebih damai dan bangkit dengan rasa yang sejuk dan selesa.



Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan;
“Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara;
1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan.
2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha.
3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.
(Hadith Riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim)

 dan:
**Rindu kepada manusia tidak boleh melebihi rindu kepada Allah**

Saturday 10 March 2012

Pelamin indah

Cuti sekolah. Banyak undangan kenduri yang diterima. Salah satunya adalah jiran sebelah rumah saya yang mengadakan majlis pertunangan anak perempuan keduanya. Disebabkan rumah kami berada di laluan utama keluar masuk ke taman perumahan, jiran saya tidak dapat membuka khemah di hadapan rumah. Jadi, laman jiran di kiri dan kanan rumahnya menjadi ruang makan para undangan. Jadi, rumah saya seperti mengadakan kenduri hari ini.  Ada rakan yang menelefon, "hai kenduri tak ajak ke"?

Alamak!! Bukan saya yang kenduri, jiran sebelah..takkan nak ajak pula...

Saya suka sangat dekorasi pelamin yang disediakan untuk menyarung cincin bakal pengantin..simple tetapi menarik dan moden..mulalah saya berangan nak buat pelamin.. tapi untuk majlis siapa ya??Hahahaha.

 Ini pula gubahan untuk hantaran yang disediakan untuk pihak lelaki. Hasil tangan jiran saya sendiri..simple but sweet..saya suka sangat..




Sireh junjung merupakan simbolik dalam adat masyarakat Melayu yang tidak dilupakan dalam majlis pertunangan atau perkahwinan..

Cake daripada Cupercake menjadi pemanis kepada hantaran melambangkan kita perlu bermanis-manis dalam menjalinkan hubungan silaturrahim

Tiga helai tuala yang digubah cantik.

Cantik hantarannya. Saya mula mendapat idea untuk buat gubahan hantaran pula. Balik nanti saya nak buat gubahan hantaran untuk adik ipar yang bakal berkahwin Jun nanti. Sebab tulah orang kata jauh berjalan banyak pengetahuan yang diperoleh. Saya tak berjalan jauh pun. Sebelah rumah sahaja tapi dah dapat idea baru.

Kasih sehingga ke hujung nyawa

Hari ini hari Sabtu..Pagi-pagi lagi saya mencecahkan kaki ke Pasar Tani Setiawangsa, KL. Sebenarnya saya jarang ke pasar kerana biasanya suami saya yang membeli belah barang  basah dapur tapi hari ni saya pergi kerana beliau berada di luar negara.

Saya memang suka jalan-jalan kat pasar tak kiralah pasar apa pun. Pasar tani, pasar malam, pasar minggu dan paling saya suka pasar raya sebab banyak kemudahan dan lebih selesa.

Pasar tani Setiawangsa!! Abah saya panggil pasar tani orang kaya-kaya. Harga ikan paling murah RM5 sekilo dan ada ikan dijual dengan harga RM200 lebih seekor. Permintaan tinggi sebab tulah ada penawaran. Ramai yang membeli ikan berharga beratus ratus ringgit tu..wahh!! Agaknya boleh kenyang seminggu kalau makan ikan tu.

Udang galah yang dijual juga mencecah RM60 sekilo. Besar-besar udang galah tu.....nasib baik saya tak minat sangat udang kalau tak..tak tahulah, melayang lah kot RM.

Paling mengejutkan saya adalah kacang panjang.. 3 batang kacang panjang berharga RM1.50. Bagi saya mahal sebab biasa saya beli kat tempat lain RM1 tu banyak batang lah juga..

Sedang asyik memerhati barang-barang yang dijual, mata saya telah tertarik kepada sepasang suami isteri warga emas. Pada pandangan saya umur mereka mungkin telah mencecah 60 tahun ke atas.

Apa yang menarik perhatian saya adalah mereka kelihatan sangat mesra, berjalan berpegangan tangan dan terpancar kasih sayang dari redupan mata mereka. Apabila makcik itu ingin membeli buah, pakcik itu memilih buah yang ingin dibeli sambil memegang mesra bahu isterinya.

Entah kenapa, saya terfikir pula bagaimana saya apabila usia telah lanjut satu masa nanti..Saya berdoa kepada Allah agar saya seperti mereka. Kasih sayang yang tetap terpahat walaupun sudah jalan terbongok-bongkok dan pastinya wajah sudah berkedut-kedut. Insya Allah.


Friday 9 March 2012

Doa saya untuknya

Hari ini saya membawa pelajar saya yang bermasalah (yang saya ceritakan dalan entri sebelum) bertemu dengan seorang yang berjiwa murni. Seorang ustaz merangkap peguam, konsultan dan juga merupakan seorang usahawan berjaya yang memiliki sebuah pusat latihan keusahawanan bertauliah. Beliau boleh dikategorikan sebagai seorang jutawan juga kerana memiliki pelbagai rangkaian perniagaan seperti restoran, pasar mini halal, car wash, catering & canopy dan sebagainya..

Saya kagum dan terharu kerana beliau sanggup mengutip anak murid saya yang telah dibuang keluarga, dibuang sekolah dan juga hampir menjadi sampah masyarakat. Semua orang disekeliling memandang serong dan menganggapnya sebagai tak berguna dan menyusahkan hidup orang lain.

Perkara pertama yang ustaz ini lakukan apabila bertemu mata dengan anak murid saya ini adalah menyuruhnya membaca ayat suci Al-Quran. Ternyata dia tidak dapat membacanya.

Itulah punca kepada segala permasalahan. Seorang anak yang tidak dididik dengan sempurna dengan keagamaan. Saya boleh melihat kesan ke atas anak ini. Hidup tanpa impian, tanpa pedoman, tanpa pegangan dan tanpa apa-apa kepercayaan dalam dirinya. Yang ada dalam hidupnya adalah cahaya suram di lorong yang sempit.

Anak ini, jika dibiarkan akan menjadi sampah masyarakat yang terjerumus kepada segala permasalahan seperti penagihan dadah, penyeluk saku, peragut, pembunuh, perogol dan sebagainya. Siapa yang sanggup peduli? Siapa yang sanggup mendidiknya? Semua mungkin akan menjawab, `ibu bapa dia pun tak boleh nak ajar, apatah lagi kita'. Secara jujurnya saya sendiri pun tidak mampu untuk mengutip dan membimbingnya. Kerana saya tiada keupayaan dari pelbagai segi.

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang yang sanggup mendidik anak ini tanpa apa-apa bayaran. Menerima dengan tangan terbuka dan hati yang luhur dan ikhlas tanpa mengaharapkan apa-apa balasan.

"Cikgu jangan risau, saya akan menganggapnya seperti adik saya". Saya akan didiknya bersolat dan mempercayai kewujudan Allah. Saya akan berusaha memperbetulkan aqidahnya. Saya akan menjadikannya seorang yang beriman dan berguna kepada masyarakat. " Jelas ustaz tersebut sebelum saya meninggalkan mereka.

Doa saya..semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada anak murid saya ini. Sanggup berubah untuk dirinya sendiri, untuk keluarganya, untuk orang-orang disekelilingnya dan yang paling penting untuk agama. Saya harap anak ini sedar yang dia adalah insan yang dipilih oleh Allah untuk mendapat cahayaNya berbanding  ramai lagi rakan-rakannya yang masih merempit di luar sana.


Thursday 8 March 2012

Semoga masih ada sinar

Semalam saya didatangi oleh seorang pelajar yang sering ponteng sekolah.

"Cikgu, saya nak berhenti sekolah!" Ujar pelajar tersebut.

"Kenapa?" Saya terkejut juga dengan khabaran itu.

"Saya dah kena halau keluar dari rumah oleh ibu bapa saya."

"Ibu bapa halau mesti ada sebab tertentu, apa yang dah berlaku? Mari duduk sini dan ceritakan pada cikgu.."

"Diorang tuduh saya mencuri laptop, sedangkan pakcik saya dan abang ipar saya penagih dadah..Diorang lah yang curik, bukan saya." Terang pelajar tersebut dengan nada perlahan.

"Kamu dah jelaskan hal sebenar ke belum, dah bela diri? Saya cuba mencungkil cerita dari pelajar itu.

"Tak guna nak cakap dah, balik rumah saya tengok barang-barang saya dah masuk beg, bilik saya dah bersepah. Duit  yang saya kumpul juga pun dah habis kena ambil. Alah, ayah saya pun bukannya betul sangat. Suka berjudi.." Ceritanya lagi.

Subhanallah!! Terkejut saya mendengar cerita pelajar itu." Habis tu sekarang kamu tinggal kat mana sekarang?"Tanya saya lagi..

"Saya tinggal menumpang kat rumah kawan. Mak dia dah benarkan.Sebab tu saya nak berhenti sekolah. Saya kena kerja nak sara hidup saya. Saya pun kena bagi duit kat mak kawan saya tu."

"Cikgu akan cuba tolong kamu. Tapi kamu kena balik minta maaf dengan ibu dan ayah dulu. Walaupun kamu tak salah tapi kena minta maaf juga."

"Kamu solat tak? Tanya saya.

Menggeleng kepala. " Saya tak pernah solat. saya tak pernah dididik untuk solat"

Sekali lagi saya terkejut..saya macam terpanggil untuk menolong..tapi macamana?..saya tak mampu untuk menolongnya. Mendidik dari A-Z. Budak dah besar panjang. Lelaki pulak tu..

Tiba-tiba saya teringat seorang insan yang mungkin boleh menolong saya membantu budak ini. Seorang ustaz. Bila ditanya dengan pelajar ini, dia memang ingin ditolong. Dia sudah hilang tempat bergantung dan kabur tentang hari mendatangnya.

Apabila berhubung dengan ustaz tersebut, dia sanggup mengambil pelajar ini dan mendidiknya..betapa murninya hati insan ini..saya berdoa agar Allah memberi kekuatan dan kemudahan kepadanya untuk mendidik.

Saya harap ada sinar baru untuknya..semoga Allah melindunginya dan memberi petunjuk kepadanya untuk mendapat hidayah.
 

Tuesday 28 February 2012

Cinta

Ada orang mudah jatuh cinta, ada yang cinta sejati dan sangat setia dengan cinta dan ada juga yang tak pernah jatuh cinta..

Semalam saya terpandang dua orang pelajar lelaki dan perempuan yang pada pandangan saya sedang dilamun cinta... si perempuan seperti merajuk dan si lelaki seperti sedang memujuk...cinta monyet budak sekolah...bukan ke mana pun..seingat saya kawan-kawan sekolah saya dulu yang bercinta pada zaman sekolah hanya dua pasangan sahaja yang bernikah..yang lain kebanyakannya putus hubungan selepas tamat persekolahan. Sebab tu diistilahkan sebagai cinta monyet.. agaknya sinonim dengan monyet yang suka melompat-lompat.


Tadi saya mendengar kisah cinta seorang suami kepada isteri sehingga meminggirkan ibu bapa sendiri macam cerita si Tanggang..dulu kisah itu kisah dongeng tetapi realitinya kisah sebegitu memang berlaku dalam masyarakat kita. Cinta itu sebenarnya suci cuma manusia yang mengotorkannya.

Dalam satu hadith disebut “Cinta kamu pada sesuatu membuat matamu buta dan telingamu tuli. Cinta Allah dan Rasul sahaja yang tidak begitu” kerana cinta kepada Allah jugalah terhasilnya para ulama dan wali Allah seperti diceritakan dalam kisah Rabiatul Adawiyyah dan Syed Muhyiddin yang sangat cintakan Allah.

Bagaimana kita ingin hidupkan rasa cinta kita kepada Allah..?
Saya sendiri juga sering bertanya kepada diri sendiri bagaimana ingin menghidupkan perasaan cinta yang mendalam kepada Allah dan Rasulullah. Bila difikirkan dan direnungkan saya dapat merasakan kadang-kadang perasaan itu terlalu kecil dalam diri ini. Terlalu kecil...walaupun keinginan untuk mencintai itu begitu tinggi..dan saya ingin Allah dan rasulullah mencintai saya jua..

Untuk mendalami cara untuk menghidupkan cinta kepada Allah boleh masuk ke

Insyaallah......


Sunday 26 February 2012

Kawan ketawa atau menangis

Teman dikala kita ketawa senang dicari...
Teman dikala kita menangis sukar dicari....

Saya selalu dengar ungkapan itu...

Kesahihan itu selalu juga berlaku pada diri saya tetapi ramai juga teman-taman yang setia bersama apabila kita dilanda kesusahan..

Semalam..sekolah saya mengadakan kursus Latihan Dalam Perkhidmatan (LPD) iaitu Kursus PERASA oleh seorang kaunselor dari Kolej Matrikulasi Banting..

Secara keseluruhannya kursus tersebut  boleh dikatakan `Best' dan menyeronokkan..

Ada beberapa aktiviti yang diatur untuk saya dan rakan-rakan sekerja menggunakan prinsip `CUT APPLE'

Salah satu aktivitinya adalah memberi epal kepada rakan yang paling kita sayang atau sebagai tanda terima kasih..mulanya kami hanya diminta mengambil sebiji epal sahaja..

Selepas mengambil sebiji epal saya hanya memandang epal di tangan. Tak tahu kepada siapa yang harus saya beri sebab ramai kawan yang saya sayang. Kalau boleh saya ingin beri kepada semua kawan-kawan.. semua baik, semua special, semua saya sayang..

Ada beberapa orang rakan menghampiri dan memberi saya epal. Salah seorang darinya adalah junior saya..

`Kak Min, terima kasih sebab kak min orang yang mula-mula tunjukkan saya tempat duduk masa saya mula-mula datang sekolah ni..'ujar ibu muda yang cantik manis yang memberi saya epal..

`Oh ya ke..betul ke..?' Saya memang betul2 tak ingat..teruk kan saya. Tapi saya sangat terharu sebab hal sekecil itupun beliau boleh ingat dan telah beberapa tahun berlalu....

Kemudian.. saya ternampak seorang insan.. saya terus menangkapnya dan memberikan beliau epal..`Terima kasih kak kerana dulu bawa saya ke hospital semasa saya sakit dan akaklah orang yang memberi saya seteguk air bila saya sedar dari pengsan'. Beliau terus memeluk saya dengan erat sekali selepas saya berkata-kata. Kami sama-sama menitiskan airmata.. airmata teman sejati....`akak sayang awak', ucap beliau...lagi laju air mata saya turun ke pipi...lama juga kami berpelukan..


Pada sesi yang lain pula..

`Saya ingin meberi hadiah ini kepada seorang sahabat yang banyak menolong saya..mentor yang saya sayang adalah Siti Zarmin' Ujar seorang sahabat yang paling saya sayang juga..' saya terkedu sebab saya tak jangka beliau nak sebut nama saya sebab beliau memang famous dan ramai rakan-rakan yang menyayangi beliau....masa berjalan menuju untuk menerima pemberian saya teringat peristiwa 4 tahun yang lalu....

`Kak Normah, tolong saya...tak tahan...saya terus termuntah dalam bakul sampah di tepi meja saya..'. Kepala saya berdenyut-denyut dengan diserang migrin dan tekak yang meloya. Beliau terus memapah saya ke pejabat  untuk meminta kebenaran menghantar saya pulang.. Kemudian beliau menghantar saya pulang ke rumah menaiki kereta beliau..`Awak ok ke kat rumah sorang-sorang ni?' Dalam keadaan sakit saya nampak kerisuan di wajah teman saya ini. ..Saya hanya menganggu kerana pada masa itu saya hanya teringat ubat dan katil sahaja..

Tapi hari ini... sepatutnya saya yang perlu memberi hadiah kepadanya terlebih dahulu..saya macam tak ingat apa yang pernah saya buat atau tolong beliau..menyusahkan beliau adalah...keadaan itu membuatkan saya cukup terharu dan tersentuh ke lubuk jiwa...







Tuesday 21 February 2012

Macam-macam hal

"Hari ni ada budak baru masuk. I suruh penyelaras masukkan kat kelas u..budak ni sepatutnya form 5 tapi tak belajar setahun." Bos saya menegur saya yang asyik menulis surat amaran ketidak hadiran pelajar.

`Oh ya ke..? okey nanti saya uruskan pelajar tu.."

Hari sebelum itu..di tapak perhimpunan..

"Muhammad A..... bin A.... sila jumpa saya selepas perhimpunan" umum salah seorang pentadbir sekolah..

Selepas perhimpunan.

"Muhammad A...., mulai hari ini kamu masuk ke kelas 4 Setia dengan bersyarat. Satu sahaja kesalahan kamu akan diambil tindakan". Suara penyelaras tingkatan terdengar di telinga saya.. Akan masuk kelas saya lah tu..pelajar tu memang banyak kes..

Hari sebelum itu lagi...kejadian ini berlaku di pejabat sekolah..

Kringgggggg!!!! Telefon pejabat berdering.. Pembantu pejabat menyambut panggilan tersebut dan memanggil saya untuk menjawab panggilan..

"Hello cikgu... saya saudara jauh kepada pelajar bernama ..... pelajar baru masuk sekolah ni.. saya hairan kenapa sekolah terima pelajar ni..sekolah lain semua tak nak terima pelajar ni.. budak ni kes polis.."suara seorang wanita kedengaran dihujung talian.

Minggu sebelum itu di dalam kelas 4 Setia

4 orang pelajar tiada dalam kelas sewaktu saya masuk ke kelas waktu ke 9 iaitu waktu terakhir pada hari tersebut.

"Cikgu, hari ni ada pelajar baru masuk", bagitahu ketua kelas semasa saya sedang membelek-belek buku maklumat disiplin pelajar dengan muka berkerut..

"ok, mana dia? Tanya saya selepas melihat tiada muka baru di dalam kelas tersebut.

" Ponteng cikgu" kedengaran suara dari belakang kelas.."hai, baru masuk dah ponteng?"

Minggu sebelum itu lagi..

"Pengumuman kepada pelajar tingkatan empat, kelas-kelas tingkatan empat akan disusun semula. Kelas 4 Tekun akan ditutup dan pelajar-pelajar kelas 4 Tekun akan dimasukkan ke kelas-kelas lain."

3 orang pelajar 4 Tekun masuk ke kelas 4 Setia..semuanya mempunyai rekod `telur ayam'..(banyak tidak hadir ke sekolah...(2 daripadanya sudah menerima amaran pertama).

Minggu sebelum itu lagi..di dalam kelas  4 Setia

" Mana buku kamu Art?" saya menegur seorang pelajar yang sedang menulis pada sehelai kertas dengan muka yang takut2.

"Tak ada cikgu, belum beli..mak saya kata tak ada duit".Ujar pelajar tersebut dengan wajah yang sukar dimengerti..

" Betul ke awak ni...ayah kerja apa?"Saya cuba menangkap keikhlasan atau kebohongan dari riak wajah pelajar tersebut.

"Polis.."

"Polis kan banyak duit juga.. "

"Banyak benda lain nak kena beli cikgu.. lagipin bapak saya jarang balik rumah" Ternampak keikhlasan pada wajahnya..

"Ok, ambil duit ni pergi beli buku. Saya menyelongkar dompet saya mengeluarkan duit. "Cikgu pun bukan orang kaya, tapi ada rezeki untuk kamu hari ni..

Dua hari sebelum itu..

"Dah beli buku nota?" tanya saya kepada seorang pelajar yang enak bersandar di meja paling belakang. Tiada buku di atas mejanya..

"mahal lah cikgu buku sekarang", duit yang saya ada cukup untuk isi minyak motor aja. Kalau saya beli buku, saya takde duit nanti nak balik rumah..nak makan lagi"


"Ilmu lebih penting, kalau tak ada ilmu pun satu hari kamu tak dapat makan juga. Ambil duit ni pegi beli buku sekarang. Lepas ni cikgu tak nak tengok lagi kamu tak ada buku..

Besoknya..
Pelajar yang sama.. "Cikgu, lapar tak?" kalau cikgu lapar saya ada kismis.cikgu makan lah..Dia menghulurkan kotak kismis kepada saya..

"Kismis ni bagus untuk kecerdasan minda.Sebelum makan selawat 3 kali, kunyah dan hisap jusnya " Saya mengambil kismis tu dan menunjukkan cara memakan kismis.

Hari ini di dalam kelas 4 Setia..

"Cikgu, janganlah buat apa-apa hari ni, penatlah cikgu," Terbeliak biji mata saya memandang pelajar yang berkata-kata.. "Keluarkan buku latihan..hari ni kita akan buat latihan pengukuhan".

Dengan muka malas mereka keluarkan buku latihan dan soalan yang telah diberi pada hari sebelumnya. Waktu ke 9 dengan cuaca yang panas menampakkan mereka berada dalam keadaan tidak selesa dan tidak fokus..ada yang bercakap-cakap. Ada yang tidur..

"Hisyam, bangun..Hisyam bin Mazlan bangun.." masih tak bangun.. "Anak Pak Mazlan..!! suara saya semakin kuat..Mazlan cuba bangun dan nampak terhoyong-hayang.. Mata masih tertutup..

"Mazlan!!!!!. Alamak ! saya tersilap panggil nama bapaknya pula..Pelajar lain yang asalnya diam terpecah ketawa mereka apabila saya tersalah sebut..

Bulat biji mata Hisyam kerana terkejut.. kelayuan wajahnya semakin hilang. Mungkin kerana ketawa kawan-kawan..

"sebelum kita jawab soalan, cikgu ingin berkongsi maklumat.. "suasa semakin hening dan menunjukkan minat untuk mendengar.

" Semalam, kawan cikgu di FB berkongsi maklumat ..." Saya memandang muka pelajar-pelajar yang semuanya memandang ke arah saya. "Dia telah ditipu kerana membeli susu bayi tiruan. Kawan cikgu nak beli susu enfalac..tetapi apabila balik rumah baru dia perasan yang susu yang dibeli adalah enfamil. Syarikat susu tu telah membungkus semula tin dengan pembalut lain. Sedangkan enfamil telah diharamkan kerana mengandungi bakteria..Adakah syarikat ini boleh dipanggil sebagai usahawan?

"Tak boleh, tak boleh pengkhianat" pelajar-pelajar menjawab soalan saya..

"Ok, apa peranan sepatutnya sebagai seorang usahawan?"

"Jual susu original cikgu".

"Bagus !! kenapa kena minum susu?.Tanya saya lagi

"Susu keperluan manusia lah cikgu..kalau tak minum macam mana bayi nak hidup..

"Bagus kamu dah menjawab soalan no 2 dan 3 hari ini. Iaitu maksud keperluan dan peranan usahawan iaitu memenuhi keperluan masyarakat dan tidak melakukan penyelewengan. Sekarang tulis semula pada buku... sesi P&P terus berlangsung dengan macam-macam cerita semasa yang dikaitkan dengan soalan..


Saya berdoa keapda Allah agar saya diberi kekuatan dan ketabahan  selagi saya bergelar pendidik terutama untuk mendidik anak-anak didik yang ternyata `kurang' dari pelbagai segi..

Thursday 9 February 2012

Saya tahu saya yang salah!!

`Kak Normah.. saya sedih..`

`Kenapa?'

`Lecturer tu...'

`Tak bagi awak A?' Kawan saya telah dapat meneka kesedihan saya..kawan sejati memang cepat membaca isi hati kawannya..

`Saya dah buat yang terbaik tapi saya dapat A-'...tapi memang salah saya..saya pernah rasa tak puas hati dengan pensyarah ni dulu..agaknya itulah balasan terhadap dosa saya..tak berkat...

`Ada anak murid kita dulu bernama ......, dapat A semua subjek lain kecuali Fizik....sebab dia pernah mengadu pasal cikgu Fizik .. mungkin tak ada keberkatan itulah sebabnya..walaupun teruk seseorang cikgu kita kena redha dan tak boleh komplen..' ujar kawan saya ni dengan suara yang lembut..

Saya tahu saya salah..walaupun jauh di sudut hati saya terselit rasa kesedihan tapi saya sedar apa yang tertulis adalah yang terbaik untuk saya..

Pengajaran yang saya dapat daripada kejadian tersebut adalah satu yang lebih bermakna berbanding  markah yang cemerlang...iaitu jangan mengata, mengadu, apatah lagi menyakitkan hati orang lain lebih-lebih lagi orang yang memberi ilmu kepada kita....

Semoga saya mendapat ikhtibar daripada kejadian ini..

Wednesday 8 February 2012

Do it yourself (D.I.Y)

KL Sentral!!

Saya memang jarang ke sana. Baru-baru ni saya bersama suami dan anak-anak pergi ke sana untuk menjemput ibu bapa yang datang menaiki ERL dari KLIA.

Tiba di KL Sentral sejam awal dari ketibaan mereka. Jadi, kami masuk ke McDonalds untuk mengalas perut yang sebenarnya tak berapa lapar pun...saja-saja untuk memenuhi masa agar anak-anak tak buat perangai macam-macam..

Selepas membeli makanan kami terus mendapat tempat duduk yang baru ditinggalkan oleh beberapa wanita. Alhamdulillah. Mudah pula dapat tempat walaupun restoran makanan segera tersebut penuh dengan pelanggan. Rezeki kami..saya percaya dengan ayat amalan yang sentiasa diamalkan untuk memudahkan segala urusan..

Bersebelahan meja kami duduk dua orang lelaki berbangsa Eropah...yang sedang enak menikmati hidangan mereka..saya tak kisah pun dengan mereka sebab tiada sebarang daya tarikan untuk melihat mereka..

Disebabkan meja kami terlalu hampir, pergerakan mereka terakam juga pada pandangan mata saya..

Selesai makan, mereka mengemas sisa-sisa makanan dan mengangkat dulang menuju ke tong sampah coklat di sudut restoran tersebut..

Nah!! sekarang memang saya dah tertarik dengan mereka..bukan rupa paras tapi tindakan mereka tadi..

`Bagus kan mereka', ujar saya kepada suami yang enak menghirup kopi..

Suami saya terhangguk-hangguk setelah berpaling melihat kelakuan dua mat Eropah tadi..

`Kita pun patut buat macam tu..' `tapi jarang orang Malaysia buat macam tu termasuk kita'.sambung saya lagi. Suami saya hanya diam tanpa apa-apa hujah. Cari idea agaknya.
Entah macam mana saya rasa tersindir dengan kelakuan mereka..(saya ni nak angkat pinggan lepas makan kat kantin sekolah pun kadang-kadang malas)..

`Rasulullah memang buat semua benda sendiri' Baginda tak suruh pun Aisyah atau sahabat-sahabat nya buat kerja untuk baginda.' dengan nada rendah suami saya bersuara dan mengangkat sisa makanan kami ke tong sampah untuk membuangnya..

Mula dari saat itu saya cuba buat seperti Rasulullah..(bukan sebab mat Eropah tu).. buat sendiri..jangan jadikan orang lain hamba kita... do it yourself (D.I.Y).Insya Allah

Tuesday 10 January 2012

Malang atau Peringatan?

Petang tadi saya telah ke kedai fotostat di Serdang. Semasa hendak keluar dari kereta, saya dan rakan-rakan telah didatangi seorang lelaki berjanggut dan berkopiah  meminta derma dengan menjual ayat-ayat suci Al-Quran. Seorang rakan saya telah menghulurkan derma kepada lelaki tersebut. Disebabkan mengejar masa (kerana perlu ke pejabat fakulti UPM sebelum pukul 5, masa tu dah pukul 4 lebih) saya tidak mengendahkan mereka tetapi tergesa-gesa masuk ke dalam kedai fotostat.  

Dalam kekalutan memeriksa bahan fotostat dan membuat pembayaran, lelaki tadi telah menghampiri saya dan meminta derma dengan ikhlas. Saya dengan selamba menjawab `akak saya dah bagi kat luar' tadi' (akak yang saya maksudkan adalah kawan saya tadi). Entah apa perasaan saya pada masa tu saya tak pasti...tapi memang saya malas nak layan orang dalam keadaan tergesa-gesa ..memang saya nak cepat..lelaki tadi berlalu dan memohon maaf  kerana.. ..kerana apa pun saya tak tahu..(mungkin kerana muka saya semacam kot)

Saya dan rakan-rakan terus bergegas untuk ke fakulti bagi urusan peperiksaan. Semasa dalam perjalanan ke fakulti..tiba-tiba beg tangan saya (yang baru saya beli dan baru kali pertama saya pakai) terputus talinya dan bertaburan di jalanan. Tentulah saya panik...terkejut..cuak... terkilan..entah apa perasaan saya pada masa tu.. tetapi jauh di sudut hati saya ... perasaan menyesal menyelubungi..

Kejadian tersebut membuatkan saya terfikir kenapa ...? tiba-tiba saya teringat lelaki tadi...

mungkin itu balasan yang Allah bagi kepada saya atas perbuatan yang tak sepatutnya saya lakukan..


Rasulullah s.a.w. bersabda
`Sesungguhnya Allah SWT menciptakan makhluk sehingga apabila selesai urusan tersebut, Allah mencipta  Rahim dan berkata ” Ini adalah makam (tempat) bagi orang yang meminta perlindungan”.
Allah berkata kepada Rahim:
Apakah kamu setuju jika aku mencucuri rahmat ke atas mereka yang bersifat Rahim (kasihan belas) dan aku putuskan (rahmat) sesiapa yang tidak bersifat Rahim (kasihan belas).
Berkata Rahim “Bahkan aku redha (setuju)”.

Hadis tersebut membawa maksud kita perlu mempunyai sifat prihatin dan belas kasihan sesama manusia agar kita mendapat kerahmatan dan keredhaan Allah SWT.  Rasulullah juga menyuruh kita sentiasa bersedekah dan bercakap baik sesama manusia...(kata-kata saya tadi mungkin mengguris lelaki tersebut)


Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya:
“Peliharalah dirimu dari api neraka dengan bersedekah (walaupun) separuh dari sebiji tamar (kurma), dan kalau tidak dapat sedekah itu, maka keluarkanlah kata-kata yang baik” (Riwayat Bukhari & Muslim)

Monday 9 January 2012

Punca pintu rezeki menjadi sempit

Kita perlu selalu selalu berdoa..supaya dimurahkan rezeki yang halal kepada kita..
Rezeki bukan sahaja berkaitan dengan makanan dan harta benda...
Anak adalah rezeki, hidup bahagia adalah rezeki, suami yang baik adalah rezeki, semua yang diberikan Allah adalah rezeki..

Oleh itu, ada beberapa perkara untuk mengelakkan pintu rezeki menjadi sempit
  • meninggalkan solat
  • derhaka kepada Allah
  • derhaka kepada ibu bapa
  • membiarkan ahli keluarga derhaka kepada Tuhan dan ibu bapa
  • memutuskan silaturrahim
  • tidak membayar zakat
  • tidak membayar hutang
  • melakukan zina, homoseks, lesbian
  • memakan riba
  • memakan harta anak yatim
  • hati kotor
  • sering bercakap dusta
  • menunjuk-nunjuk
  • khianat
  • mengungkit
  • menyelidik rahsia orang
  • menyebar fitnah
  • kencing berdiri
  • memberi dan menerima rasuah
  • kedekut ilmu
elakkan lah dari bersifat seperti di atas supaya rezeki kita lebih murah

Mulut manis!!!

Kita perlu hati-hati bila bercakap ..
Kerana setiap patah yang keluar dari mulut kita menggambarkan daya intelektual dan pemikiran kita..
Atau lebih mudah nak faham menggambarkan cerdik atau tak cerdik (bodoh) nya kita..

Daya intelektual bermaksud kemampuan kita untuk berfikir dan memahami atau akal budi...

Dari maksud-maksud di atas,  golongan intelek pula boleh dijelaskan sebagai reaksi atau jawapan dari kaum cerdik pandai iaitu golongan yang mempunyai daya berfikir yang tinggi terhadap sesuatu isu samada isu kecil atau besar. Golongan cerdik pandai ni biasanya terdiri daripada mereka yang mahir dalam bidang masing-masing atau mempunyai tahap pendidikan yang tinggi seperti memiliki ijazah kedoktorat. Golongan intelek apabila bersuara akan mengeluarkan fakta berdasarkan pemikiran analitik dan bernas jauh sekali bercakap omong kosong atau hanya melepaskan perasaan semata-mata..

Selalu kan kita dengar orang suka salahkan orang lain atau mengata, mengutuk orang ..(macam diri sendiri tu bagus sangat). Contohnya lah..selalu sangat saya terbaca di facebook , ada yang suka mengata orang lain bodoh lah sial lah..tanpa disedari yang bodoh dan sial itu adalah diri sendiri..sebab bila sentiasa membodohkan orang lama-lama diri sendiri yang bodoh (tak ke sial nama nya tu?) nauzubillah..

jadi, hati-hati bila berkata-kata..

Mulut yang manis itu adalah dari kata-kata yang manis..

walaupun pakai lipistik setebal 5 inci atau berjenama terkenal pun takkan nampak manis jika kata-kata yang tak manis dikeluarkan..

Kata-kata juga melambangkan akal budi kita...