Thursday 15 March 2012

Kenangan yang tidak mungkin berulang



Tadi saya terbaca satu artikel berkaitan tuah orang yang lahir pada tahun 1970an dan 1980an. Saya kira orang yang lahir tahun 1960an juga bertuah.

Saya akui memang saya bertuah kerana lahir pada tahun 1970an kerana saya dapat merasai dua zaman yang berbeza iaitu zaman yang belum menggunakan teknologi moden dan zaman yang serba canggih sekarang ini.

Mungkin anak-anak yang lahir era tahun 2000 ke atas tidak dapat lagi merasai kehidupan yang cukup indah itu.

Saya akan cuba senaraikan apa yang saya ingat.

1. Mandi di perigi menggunakan timba. 

Saya sempat mandi di perigi di rumah arwah nenek saya di kampung. Walaupun bekalan air paip ada di rumah nenek saya, tetapi bila balik bercuti memang itulah acara wajib yang mesti dibuat iaitu mandi di perigi bersama adik-adik.

Kami perlu menceduk air dari perigi dengan menggunakan timba. Timba itu disangkut pada buluh panjang atau diikat dengan tali. Menimba air yang disangkut dengan buluh tu memang susah bagi saya. Terkial-kial untuk mengambil air.

Biasanya sikit aje air yang dapat saya ceduk. Selalu juga timba tu terlepas ke dalam perigi. Maka, terpaksalah mengait timba itu sampai dapat. 

Air perigi memang sejuk sehingga ke tulang sum-sum tetapi selepas mandi badan berasa segar bugar. Memang best!

Selain itu, saya juga pernah membasuh pinggan mangkuk dan pakaian di tepi perigi. Yang ini memang penat. Terpaksa menimba air banyak-banyak untuk kerja mencuci.  Masa tu tak ada sinki macam sekarang ni. Kena duduk atas bangku kecil dan membasuh menggunakan besen besar.


 

2. Menonton menggunakan TV hitam putih

Saya sempat juga menonton TV yang gambarnya hitam putih. Juga kat rumah nenek saya.  Masa tu umur saya mungkin 3 atau 4 tahun.   Rumah nenek saya antara rumah yang ada TV  di kampung tersebut. Bila ada cerita hindustan maka ramailah saudara mara datang untuk menonton TV. Penuh kat ruang tamu.

Saya ingat lagi apabila ayah saya mula-mula membeli TV warna (jenama Siera), saudara mara dari kampung beramai-ramai datang ke rumah kami untuk menonton TV berwarna. Macam pesta jadinya. Indah betul kenangan itu.


3. Sterika Arang

Seterika menggunakan arang kat rumah nenek saya. Masukkan arang dalam seterika dan gosok pada baju. Saya sempat guna beberapa kali sahaja masa balik rumah nenek. Lepas tu makcik saya telah membeli seterika letrik. jadi, seterika arang itu tidak lagi digunakan.



4. Malam ditemani cahaya pelita dan menggobek sireh

Masa saya kecil, kampung nenek saya di sebelah ayah belum dibekalkan dengan bekalan elektrik. Pada waktu malam penduduk kampung menggunakan pelita sebagai sumber cahaya. Jadi, apabila balik ke rumah nenek, saya dapat merasai bagaimana hidup dengan ditemani pelita. Apabila senja menjelang nenek akan meminta kami mengisi pelita dengan minyak tanah. Kemudian menyalakan pelita dengan menggunakan mancis gores. 

Apa yang saya ingat, bau minyak tanah akan menyelubungi rumah dan melekat pada baju tidur kami sekeluarga. Pada masa itu, lepas isyak aje mak mengarahkan kami tidur kerana tiada aktiviti lagi yang perlu dibuat.

Walau bagaimanapun, rumah nenek saya selalu dikunjungi oleh saudara mara atau jiran tetangga selepas solat isyak. Mereka datang berkumpul di tangga untuk berbual-bual  sambil menghisap rokok daun dan memakan sireh.

Saya dan abang saya selalu berebut-rebut untuk menggobek sireh untuk tetamu yang hadir. Sebelum menggobek, daun sireh disapu dengan kapur, kemudian diletakkan gambir dan buah pinang yang diracik.  Selepas itu, daun sireh itu akan dilipat dan dimasukkan ke dalam gobek untuk dihancurkan sebelum mereka makan. 



 Gobek yang digunakan untuk menghancurkan campuran sireh, gambir dan pinang


 Cekati. Alat ini digunakan untuk meracik buah pinang


5. Dapur Arang

Walaupun ayah saya telah membelikan nenek saya dapur gas, namun arwah nenek saya tetap menggunakan dapur arangnya. Agaknya itulah jiwa dan kebiasaanya.

Dapur arang menggunakan kayu api. Apabila balik ke rumah arwah nenek, kami adik beradik menolong nenek mengangkat kayu api dari bawah rumah ke dapur. Untuk menghidupkan api, arwah nenek menghidupkan api menggunakan mancis gores meniup bara api menggunakan buluh kecil. Saya pernah cuba tapi tak pernah berjaya menghidupkan api.

Makanan atau air yang dimasak dengan dapur kayu berbau asap. Saya boleh je minum. Sedap juga rasanya.

Periuk belanga yang digunakan semuanya hitam legam dek kerana dibakar oleh api. Saya yang menyibuk kat dapur menolong mak memasak juga berbau asap.

 Lebih kurang macam ni lah rupa dapur arang nenek saya dulu. Gambar ni saya google aje.


6. Mengukur kelapa


Anak saya pun tak kenal benda ni.

Orang kat tempat saya panggil benda ni `kore'.  Alat ini digunakan untuk mengukur kelapa.

Lama juga saya sempat menggunakan `kore' untuk mengukur kelapa.  Boleh dikatakan saya pakar juga mengukur kelapa menggunakan `kore'. Semenjak saya berumur lebih kurang 10 tahun sehingga remaja saya ditugaskan mengukur kelapa. Boleh dikatakan setiap hari saya mengukur kelapa. Sekarang ni, saya tidak lagi merasai kenikmatan ber`excercise' menggunakan `kore'.


7. Mendengar lagu menggunakan kaset

Suatu ketika dahulu, kaset merupakan alat hiburan  seperti CD atau DVD sekarang ni. kaset diputar pada pemain kaset di radio untuk mendengar lagu-lagu artis kegemaran.  Kaset dibuat daripada tali yang nipis dan panjang. Kalau tersalah tarik, tali kaset akan rosak dan nyanyian artis akan menjadi sumbang.  Tapi dulu saya suka memusing-musing tali kaset. Dulu, sesiapa yang boleh menyimoan banyak koleksi kaset artis-artis dikira hebat dan glamour.

Tali kaset


 Kulit luar kaset yang menarik


8.   Walkman

Walkman. Bukannya lelaki berjalan tetapi alat seperti MP3 sekaranglah. Alat yang digunakan untuk pemain tali kaset mudah alih. Walkman akan disambung pada headphone. Tidak lama selepas itu barulah earphone dijual.


 Jenama Sony memang popular masa tu. Kalau dapat guna walkman sony memang `vogue'.


9. Ubat nyamuk

Saya pun dah tak guna ubat nyamuk ni. Digunakan untuk membunuh nyamuk bukan untuk mengubat nyamuk supaya sihat



**Itu antara yang saya ingat. Kalau ingat yang lain lagi nanti saya akan postkan lagi..apa2 pun kenangan ini takkan berulang lagi.. saya merindui saat-saat itu.

5 comments:

  1. wah banyak juga kenangan tu ya... hampir sama :)

    tapi pernah buang hajat besar di kebun tak? sebab tandas tak ada, jadi bila hendak membuang hajat besar, pergi ke dalam kebun, bawak cangkul sekali .... hahaha. tak suka sangat

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahaha...saya tak sempat merasa `membuang' kat kebun. Tandas dah ada kat luar rumah.Tapi kena angkut air dari perigi dan gelap sebab takde letrik. Kes `emegency' baru saya pergi tandas..kalau boleh tahan baik tahan sebab saya sangat takut dgn katak..

      Mesti `haru' kan bila nak `membuang'. tak kena skodeng ke?

      Delete
  2. pernah merasa melepaskan hajat di dalam semak,korek lubang dulu lepas tu kambus semula,yang paling tak tahan mandi sungai,airnya sesejuk air dalam fridge...menggigil...sejuk hingga ke tulang

    ReplyDelete
    Replies
    1. mandi sungai pun saya pernah. memang sejuk airnye.Tapi best sangat. Yang kelakar pernah saya ingat, sepupu saya mandi pakai kain batik.kembung kain batiknye bila berenang. rasanya ikan kat bawah tu pengsan tengok.

      Delete
  3. Gobek 2 jual x??sy nk ckupkan koleksi2 brg antik....

    ReplyDelete