Friday 9 March 2012

Doa saya untuknya

Hari ini saya membawa pelajar saya yang bermasalah (yang saya ceritakan dalan entri sebelum) bertemu dengan seorang yang berjiwa murni. Seorang ustaz merangkap peguam, konsultan dan juga merupakan seorang usahawan berjaya yang memiliki sebuah pusat latihan keusahawanan bertauliah. Beliau boleh dikategorikan sebagai seorang jutawan juga kerana memiliki pelbagai rangkaian perniagaan seperti restoran, pasar mini halal, car wash, catering & canopy dan sebagainya..

Saya kagum dan terharu kerana beliau sanggup mengutip anak murid saya yang telah dibuang keluarga, dibuang sekolah dan juga hampir menjadi sampah masyarakat. Semua orang disekeliling memandang serong dan menganggapnya sebagai tak berguna dan menyusahkan hidup orang lain.

Perkara pertama yang ustaz ini lakukan apabila bertemu mata dengan anak murid saya ini adalah menyuruhnya membaca ayat suci Al-Quran. Ternyata dia tidak dapat membacanya.

Itulah punca kepada segala permasalahan. Seorang anak yang tidak dididik dengan sempurna dengan keagamaan. Saya boleh melihat kesan ke atas anak ini. Hidup tanpa impian, tanpa pedoman, tanpa pegangan dan tanpa apa-apa kepercayaan dalam dirinya. Yang ada dalam hidupnya adalah cahaya suram di lorong yang sempit.

Anak ini, jika dibiarkan akan menjadi sampah masyarakat yang terjerumus kepada segala permasalahan seperti penagihan dadah, penyeluk saku, peragut, pembunuh, perogol dan sebagainya. Siapa yang sanggup peduli? Siapa yang sanggup mendidiknya? Semua mungkin akan menjawab, `ibu bapa dia pun tak boleh nak ajar, apatah lagi kita'. Secara jujurnya saya sendiri pun tidak mampu untuk mengutip dan membimbingnya. Kerana saya tiada keupayaan dari pelbagai segi.

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang yang sanggup mendidik anak ini tanpa apa-apa bayaran. Menerima dengan tangan terbuka dan hati yang luhur dan ikhlas tanpa mengaharapkan apa-apa balasan.

"Cikgu jangan risau, saya akan menganggapnya seperti adik saya". Saya akan didiknya bersolat dan mempercayai kewujudan Allah. Saya akan berusaha memperbetulkan aqidahnya. Saya akan menjadikannya seorang yang beriman dan berguna kepada masyarakat. " Jelas ustaz tersebut sebelum saya meninggalkan mereka.

Doa saya..semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada anak murid saya ini. Sanggup berubah untuk dirinya sendiri, untuk keluarganya, untuk orang-orang disekelilingnya dan yang paling penting untuk agama. Saya harap anak ini sedar yang dia adalah insan yang dipilih oleh Allah untuk mendapat cahayaNya berbanding  ramai lagi rakan-rakannya yang masih merempit di luar sana.


No comments:

Post a Comment