Friday 16 March 2012

Permainan sewaktu ketika dahulu

Masa saya kecil dahulu tak ada mainan seperti budak-budak zaman sekarang yang menggunakan teknologi seperti play station, internet games, computer games dan lain-lain. Permainan dahulu lebih berbentuk realiti dan lasak serta melibatkan ramai orang.

Permainan dahulu berbentuk `outdoor' yang dilakukan di luar rumah dan bebas mengambil sumber-sumber alam untuk dijadikan bahan mainan. Tidak seperti sekarang ini yang mana alat permainan dibeli dari kedai dengan harga yang mahal.

1. Main masak-masak atau kawin-kawin
Permainan ni agak popular dalam kalangan budak-budak perempuan. Saya, sepupu dan beberapa orang jiran bermain seperti sebuah keluarga.

Ada yang menjadi emak, menjadi kakak atau adik. Kadang-kadang ada juga sepupu lelaki turut bermain bersama dan berwatak sebahgai bapa atau suami. Kalau tak ada budak lelaki, salah seorang dari kami akan menjadi lelaki.

Semasa bermain kami akan pergi mengutip daun-daun dan bunga- bunga di sekeliling rumah untuk dimasak.
Nenek saya dahulu tak kisah pokok bunga dijahanamkan oleh kami.  Kebanyakan pokok bunga itu tumbuh liar di sekeliling rumah.

Tak seperti sekarang ini, pokok bunga dibeli dari tapak-tapak semaian dan dijaga dengan rapi.

Macam-macam makanan olok-olok yang kami masak dengan menggunakan periuk atau kuali lama  yang telah rosak. Pasir juga menjadi salah satu bahan masakan kami.  Kemudian kami akan makan olok-olok bersama-sama.

Apabila telah besar sedikit (saya rasa dalam darjah enam). Pernah kami menyeludup beras kat rumah nenek dan kami masak. Lauknye pulak kami ambil bawah saji kat dapur.



2. Main congkak

Sekarang pun masih ada lagi permainan ini. Tak luput dek zaman. Bezanya adalah dahulu lubang congkak dibuat dengan mengorek tanah untuk dijadikan lubang-lubang congkak. Buah congkak pula adalah biji getah,  bukannya guli seperti sekarang. Apabila bermain kuku akan menjadi hitam legam terlekat tanah. Kotor. sebab tulah kot budak-budak dahulu selalu terkena cacing sebab cara bermain yang sebegitu.



3. Main kapal terbang (dekcok)

Untuk bermain permainan ini,  kami melukis petak-petak berbentuk kapal terbang kat atas tanah. Kami akan memilih batu atau serpihan atap untuk dijadikan `buah' (Kol). Pemilihan kol yang baik akan mempengaruhi permainan. Kol tersebut akan dibaling ke dalam kotak-kotak mengikut peringkat iaitu dari bawah sampai ke atas. Selepas kol dibaling, kami akan melompat-lompat dengan sebelah kaki di dalam kotak-kotak kosong yang tiada kol.

Saya rasa orang sebelah pantai barat semenanjung memanggil permainan ini teng-teng.

  


4. Main sorok-sorok

Main sembunyi-sembunyi. Siapa yang jadi ibu kena tutup mata dan yang lain akan pergi bersembunyi di sekitar rumah. Orang yang menjadi ibu akan mengira sehingga nombor yang telah ditetapkan seperti 50. Selepas selesai mengira ibu akan mencari kawan-kawan yang bersembunyi sehingga dapat. Jika tidak menjumpai semua ahli yang bermain dia perlu menjadi ibu semula dan nombor kiraan akan meningkat.  Saya ingat saya pernah menangis kerana perlu mengira sehingga 100 kerana tidak bertemu dengan salah seorang sepupu saya yang menyorok entah di mana. Rupa-rupanya dia balik makan nasi kat rumah dia. Geram betul masa tu.




5. Main galah panjang

Permainan ini memerlukan 2 pasukan yang terdiri daripada lebih kurang lima orang satu kumpulan. Kumpulan A perlu melepasi garisan yang dijaga oleh kumpulan B. Permainan ini memang menyeronokkan.




6. Main getah

Saya tak ingat nama permainan ini. Permainan ini memerlukan getah urat yang banyak. Getah urat di sambung sehingga panjang. Kemudian setiap orang perlu melompat getah dari paras lutut sehingga kepala. Paras lutus sehingga dada perlu dilompat tanpa boleh terkena getah tersebut.


 


7. Main skipping

Main permainan ini juga menggunakan getah atau tali skipping. Permainan ini diiringi dengan lagu-lagu tertentu. Ada 2-3 jenis lagu yang saya ingat sehingga sekarang tetapi saya sendiri pun tak faham maksudnya kerana tak tahu bahasa apa sebenarnya yang dinyanyikan. Hahahah..




8. Main batu seremban

Kat tempat saya, permainan ini dikenali sebagai selambut. Permainan ini menggunakan batu-batu yang dikutip di sekeliling rumah. batu dilambung dan di sambut. Bilangan batu biasanya ganjil seperti 5, 7 atau sembilan.




*Gambar-gambar ni saya cari dari google kat internet

No comments:

Post a Comment