Tuesday 20 March 2012

Teman biasa tapi mesra

Rutin sebagai seorang guru. Pagi-pagi lagi seawal jam 7.15 pagi tugas telah bermula. Menguruskan perhimpunan pagi dan memastikan pergerakan pelajar naik ke kelas sebelum jam 7.25 pagi. Kemudian terus bergegas ke kelas untuk sesi pengajaran dan pembelajaran. Kadang-kadang waktu pengajaran berterusan sehingga jam 9.30 pagi. 

Dengan alasan tidak berselera untuk bersarapan sebelum jam 7 pagi,  biasanya pukul 9.30 lah perut akan menerima makanan dan minuman. Agak zalim juga tuan punya perut. Tapi selalunya tuan punya badan akan memenangkan mulut berbanding dengan perut.

Perut dan mulut itu, perut dan mulut sayalah. Baru saya sedar yang tidak adilnya saya sebagai seorang tuan kepada mulut dan perut..(apa yang saya merepek ni?)

Pagi ini, selepas mengajar berterusan bermula jam 7.25 pagi sehingga 9.15 pagi, perut saya memang berkeroncong minta diisi. Pukul 9.30 baru saya menjejakkan kaki ke kantin untuk menjamu selera.

Kantin!!!!

Memang punya keistimewaan dan agenda yang tersendiri. Bukan sebab hidangannya.


Di sinilah kita boleh mendengar luahan kawan kita yang tension atau bermasalah dan kita sebagai kawan biasanya bertindak sebagai kaunselor atau motivator yang memberi pelbagai idea untuk teman yang kesusahan.

Di sini juga tempat  menambah dosa-dosa apabila mendengar umpatan-umpatan dan   mendapat sama sahamnya kerana tidak membela otrang yang diumpat malah kadang-kadang menambah-nambak seperti menambah lauk yang pelbagai kat kantin.

Di kantin juga tempat berkongsi cerita-cerita gembira berkaitan keluarga, kerja dan sebagainya.


Dan yang paling best, kantin adalah tempat menghilangkan kepenatan dan keserabutan otak kerana kita bertemu dengan teman-teman yang memiliki humor yang tersendiri dan mampu membuatkan teman di sekeliling ceria dan gembira.

Saya memang kagum dengan orang-orang sebegini. Memiliki ciri-ciri yang menarik dan tidak membosankan. Malah boleh membuatkan saya happy. Kata-kata yang simple tetepi tidak menyerabutkan jiwa.

Dale Carniege, seorang pakar motivasi telah membuat kajian lebih 50 tahun ke atas insan-insan yang popular mendapati antara ciri-ciri orang yang berpengaruh adalah  tidak bercakap `pasal saya' tetapi topik percakapan  lebih tertumpu kepada orang yang di sekeliling.

Menurut Dale Carniege orang yang membosankan adalah orang selalu menceritakan kelebihan diri sendiri

Selain itu, orang yang mampu menarik ramai orang yang ingin berkawan dengannya adalah orang yang sentiasa membuatkan orang lain berasa gembira dan selesa.

Cara untuk menarik ramai kawan adalah sentiasa  menunjukkan sikap prihatin dan sentiasa memuji atau mengeluarkan kata-kata manis tentang orang di samping  dan bukannya menunjukkan kelebihan diri sendiri.




Friday 16 March 2012

Permainan sewaktu ketika dahulu

Masa saya kecil dahulu tak ada mainan seperti budak-budak zaman sekarang yang menggunakan teknologi seperti play station, internet games, computer games dan lain-lain. Permainan dahulu lebih berbentuk realiti dan lasak serta melibatkan ramai orang.

Permainan dahulu berbentuk `outdoor' yang dilakukan di luar rumah dan bebas mengambil sumber-sumber alam untuk dijadikan bahan mainan. Tidak seperti sekarang ini yang mana alat permainan dibeli dari kedai dengan harga yang mahal.

1. Main masak-masak atau kawin-kawin
Permainan ni agak popular dalam kalangan budak-budak perempuan. Saya, sepupu dan beberapa orang jiran bermain seperti sebuah keluarga.

Ada yang menjadi emak, menjadi kakak atau adik. Kadang-kadang ada juga sepupu lelaki turut bermain bersama dan berwatak sebahgai bapa atau suami. Kalau tak ada budak lelaki, salah seorang dari kami akan menjadi lelaki.

Semasa bermain kami akan pergi mengutip daun-daun dan bunga- bunga di sekeliling rumah untuk dimasak.
Nenek saya dahulu tak kisah pokok bunga dijahanamkan oleh kami.  Kebanyakan pokok bunga itu tumbuh liar di sekeliling rumah.

Tak seperti sekarang ini, pokok bunga dibeli dari tapak-tapak semaian dan dijaga dengan rapi.

Macam-macam makanan olok-olok yang kami masak dengan menggunakan periuk atau kuali lama  yang telah rosak. Pasir juga menjadi salah satu bahan masakan kami.  Kemudian kami akan makan olok-olok bersama-sama.

Apabila telah besar sedikit (saya rasa dalam darjah enam). Pernah kami menyeludup beras kat rumah nenek dan kami masak. Lauknye pulak kami ambil bawah saji kat dapur.



2. Main congkak

Sekarang pun masih ada lagi permainan ini. Tak luput dek zaman. Bezanya adalah dahulu lubang congkak dibuat dengan mengorek tanah untuk dijadikan lubang-lubang congkak. Buah congkak pula adalah biji getah,  bukannya guli seperti sekarang. Apabila bermain kuku akan menjadi hitam legam terlekat tanah. Kotor. sebab tulah kot budak-budak dahulu selalu terkena cacing sebab cara bermain yang sebegitu.



3. Main kapal terbang (dekcok)

Untuk bermain permainan ini,  kami melukis petak-petak berbentuk kapal terbang kat atas tanah. Kami akan memilih batu atau serpihan atap untuk dijadikan `buah' (Kol). Pemilihan kol yang baik akan mempengaruhi permainan. Kol tersebut akan dibaling ke dalam kotak-kotak mengikut peringkat iaitu dari bawah sampai ke atas. Selepas kol dibaling, kami akan melompat-lompat dengan sebelah kaki di dalam kotak-kotak kosong yang tiada kol.

Saya rasa orang sebelah pantai barat semenanjung memanggil permainan ini teng-teng.

  


4. Main sorok-sorok

Main sembunyi-sembunyi. Siapa yang jadi ibu kena tutup mata dan yang lain akan pergi bersembunyi di sekitar rumah. Orang yang menjadi ibu akan mengira sehingga nombor yang telah ditetapkan seperti 50. Selepas selesai mengira ibu akan mencari kawan-kawan yang bersembunyi sehingga dapat. Jika tidak menjumpai semua ahli yang bermain dia perlu menjadi ibu semula dan nombor kiraan akan meningkat.  Saya ingat saya pernah menangis kerana perlu mengira sehingga 100 kerana tidak bertemu dengan salah seorang sepupu saya yang menyorok entah di mana. Rupa-rupanya dia balik makan nasi kat rumah dia. Geram betul masa tu.




5. Main galah panjang

Permainan ini memerlukan 2 pasukan yang terdiri daripada lebih kurang lima orang satu kumpulan. Kumpulan A perlu melepasi garisan yang dijaga oleh kumpulan B. Permainan ini memang menyeronokkan.




6. Main getah

Saya tak ingat nama permainan ini. Permainan ini memerlukan getah urat yang banyak. Getah urat di sambung sehingga panjang. Kemudian setiap orang perlu melompat getah dari paras lutut sehingga kepala. Paras lutus sehingga dada perlu dilompat tanpa boleh terkena getah tersebut.


 


7. Main skipping

Main permainan ini juga menggunakan getah atau tali skipping. Permainan ini diiringi dengan lagu-lagu tertentu. Ada 2-3 jenis lagu yang saya ingat sehingga sekarang tetapi saya sendiri pun tak faham maksudnya kerana tak tahu bahasa apa sebenarnya yang dinyanyikan. Hahahah..




8. Main batu seremban

Kat tempat saya, permainan ini dikenali sebagai selambut. Permainan ini menggunakan batu-batu yang dikutip di sekeliling rumah. batu dilambung dan di sambut. Bilangan batu biasanya ganjil seperti 5, 7 atau sembilan.




*Gambar-gambar ni saya cari dari google kat internet

Thursday 15 March 2012

Kenangan yang tidak mungkin berulang



Tadi saya terbaca satu artikel berkaitan tuah orang yang lahir pada tahun 1970an dan 1980an. Saya kira orang yang lahir tahun 1960an juga bertuah.

Saya akui memang saya bertuah kerana lahir pada tahun 1970an kerana saya dapat merasai dua zaman yang berbeza iaitu zaman yang belum menggunakan teknologi moden dan zaman yang serba canggih sekarang ini.

Mungkin anak-anak yang lahir era tahun 2000 ke atas tidak dapat lagi merasai kehidupan yang cukup indah itu.

Saya akan cuba senaraikan apa yang saya ingat.

1. Mandi di perigi menggunakan timba. 

Saya sempat mandi di perigi di rumah arwah nenek saya di kampung. Walaupun bekalan air paip ada di rumah nenek saya, tetapi bila balik bercuti memang itulah acara wajib yang mesti dibuat iaitu mandi di perigi bersama adik-adik.

Kami perlu menceduk air dari perigi dengan menggunakan timba. Timba itu disangkut pada buluh panjang atau diikat dengan tali. Menimba air yang disangkut dengan buluh tu memang susah bagi saya. Terkial-kial untuk mengambil air.

Biasanya sikit aje air yang dapat saya ceduk. Selalu juga timba tu terlepas ke dalam perigi. Maka, terpaksalah mengait timba itu sampai dapat. 

Air perigi memang sejuk sehingga ke tulang sum-sum tetapi selepas mandi badan berasa segar bugar. Memang best!

Selain itu, saya juga pernah membasuh pinggan mangkuk dan pakaian di tepi perigi. Yang ini memang penat. Terpaksa menimba air banyak-banyak untuk kerja mencuci.  Masa tu tak ada sinki macam sekarang ni. Kena duduk atas bangku kecil dan membasuh menggunakan besen besar.


 

2. Menonton menggunakan TV hitam putih

Saya sempat juga menonton TV yang gambarnya hitam putih. Juga kat rumah nenek saya.  Masa tu umur saya mungkin 3 atau 4 tahun.   Rumah nenek saya antara rumah yang ada TV  di kampung tersebut. Bila ada cerita hindustan maka ramailah saudara mara datang untuk menonton TV. Penuh kat ruang tamu.

Saya ingat lagi apabila ayah saya mula-mula membeli TV warna (jenama Siera), saudara mara dari kampung beramai-ramai datang ke rumah kami untuk menonton TV berwarna. Macam pesta jadinya. Indah betul kenangan itu.


3. Sterika Arang

Seterika menggunakan arang kat rumah nenek saya. Masukkan arang dalam seterika dan gosok pada baju. Saya sempat guna beberapa kali sahaja masa balik rumah nenek. Lepas tu makcik saya telah membeli seterika letrik. jadi, seterika arang itu tidak lagi digunakan.



4. Malam ditemani cahaya pelita dan menggobek sireh

Masa saya kecil, kampung nenek saya di sebelah ayah belum dibekalkan dengan bekalan elektrik. Pada waktu malam penduduk kampung menggunakan pelita sebagai sumber cahaya. Jadi, apabila balik ke rumah nenek, saya dapat merasai bagaimana hidup dengan ditemani pelita. Apabila senja menjelang nenek akan meminta kami mengisi pelita dengan minyak tanah. Kemudian menyalakan pelita dengan menggunakan mancis gores. 

Apa yang saya ingat, bau minyak tanah akan menyelubungi rumah dan melekat pada baju tidur kami sekeluarga. Pada masa itu, lepas isyak aje mak mengarahkan kami tidur kerana tiada aktiviti lagi yang perlu dibuat.

Walau bagaimanapun, rumah nenek saya selalu dikunjungi oleh saudara mara atau jiran tetangga selepas solat isyak. Mereka datang berkumpul di tangga untuk berbual-bual  sambil menghisap rokok daun dan memakan sireh.

Saya dan abang saya selalu berebut-rebut untuk menggobek sireh untuk tetamu yang hadir. Sebelum menggobek, daun sireh disapu dengan kapur, kemudian diletakkan gambir dan buah pinang yang diracik.  Selepas itu, daun sireh itu akan dilipat dan dimasukkan ke dalam gobek untuk dihancurkan sebelum mereka makan. 



 Gobek yang digunakan untuk menghancurkan campuran sireh, gambir dan pinang


 Cekati. Alat ini digunakan untuk meracik buah pinang


5. Dapur Arang

Walaupun ayah saya telah membelikan nenek saya dapur gas, namun arwah nenek saya tetap menggunakan dapur arangnya. Agaknya itulah jiwa dan kebiasaanya.

Dapur arang menggunakan kayu api. Apabila balik ke rumah arwah nenek, kami adik beradik menolong nenek mengangkat kayu api dari bawah rumah ke dapur. Untuk menghidupkan api, arwah nenek menghidupkan api menggunakan mancis gores meniup bara api menggunakan buluh kecil. Saya pernah cuba tapi tak pernah berjaya menghidupkan api.

Makanan atau air yang dimasak dengan dapur kayu berbau asap. Saya boleh je minum. Sedap juga rasanya.

Periuk belanga yang digunakan semuanya hitam legam dek kerana dibakar oleh api. Saya yang menyibuk kat dapur menolong mak memasak juga berbau asap.

 Lebih kurang macam ni lah rupa dapur arang nenek saya dulu. Gambar ni saya google aje.


6. Mengukur kelapa


Anak saya pun tak kenal benda ni.

Orang kat tempat saya panggil benda ni `kore'.  Alat ini digunakan untuk mengukur kelapa.

Lama juga saya sempat menggunakan `kore' untuk mengukur kelapa.  Boleh dikatakan saya pakar juga mengukur kelapa menggunakan `kore'. Semenjak saya berumur lebih kurang 10 tahun sehingga remaja saya ditugaskan mengukur kelapa. Boleh dikatakan setiap hari saya mengukur kelapa. Sekarang ni, saya tidak lagi merasai kenikmatan ber`excercise' menggunakan `kore'.


7. Mendengar lagu menggunakan kaset

Suatu ketika dahulu, kaset merupakan alat hiburan  seperti CD atau DVD sekarang ni. kaset diputar pada pemain kaset di radio untuk mendengar lagu-lagu artis kegemaran.  Kaset dibuat daripada tali yang nipis dan panjang. Kalau tersalah tarik, tali kaset akan rosak dan nyanyian artis akan menjadi sumbang.  Tapi dulu saya suka memusing-musing tali kaset. Dulu, sesiapa yang boleh menyimoan banyak koleksi kaset artis-artis dikira hebat dan glamour.

Tali kaset


 Kulit luar kaset yang menarik


8.   Walkman

Walkman. Bukannya lelaki berjalan tetapi alat seperti MP3 sekaranglah. Alat yang digunakan untuk pemain tali kaset mudah alih. Walkman akan disambung pada headphone. Tidak lama selepas itu barulah earphone dijual.


 Jenama Sony memang popular masa tu. Kalau dapat guna walkman sony memang `vogue'.


9. Ubat nyamuk

Saya pun dah tak guna ubat nyamuk ni. Digunakan untuk membunuh nyamuk bukan untuk mengubat nyamuk supaya sihat



**Itu antara yang saya ingat. Kalau ingat yang lain lagi nanti saya akan postkan lagi..apa2 pun kenangan ini takkan berulang lagi.. saya merindui saat-saat itu.

Tuesday 13 March 2012

Rindu Yang Mendalam

Memang sukar melelapkan mata malam tadi, agaknya hati dilanda kerinduan yang mendalam. Puas pusing ke kiri dan pusing ke kanan mata tidak jua mahu terlelap. Sedangkan kepala sudah berdenyut-denyut kesakitan.

Saya selalu mendengar kata-kata berkaitan rindu.

`Bila rindu kusebut namamu' -
`Rindu membuatku tidak menentu'
`Rinduku padamumembuatku tidak menentu'
`Ku merinduimu setiap hari'


Akhirnya, saya bangun berwuduk dan mendirikan solat witir. Pesan suami, solat witir sebelum tidur tapi itu yang jarang saya lakukan. Usai solat dan sedikit berwirid, jiwa menjadi tenang bagaikan melayang.

Kerinduan menggamit pergi, akhirnya tidur tanpa diulit mimpi. Tidur yang lebih damai dan bangkit dengan rasa yang sejuk dan selesa.



Abu Hurairah r.a. juga pernah menceritakan;
“Temanku (yakni Rasulullah s.a.w.) telah mewasiatkanku dengan tiga perkara;
1. Berpuasa tiga hari pada setiap bulan.
2. Mengerjakan dua rakaat solat dhuha.
3. Menunaikan solat witir sebelum aku tidur”.
(Hadith Riwayat oleh Imam Bukhari dan Muslim)

 dan:
**Rindu kepada manusia tidak boleh melebihi rindu kepada Allah**

Saturday 10 March 2012

Pelamin indah

Cuti sekolah. Banyak undangan kenduri yang diterima. Salah satunya adalah jiran sebelah rumah saya yang mengadakan majlis pertunangan anak perempuan keduanya. Disebabkan rumah kami berada di laluan utama keluar masuk ke taman perumahan, jiran saya tidak dapat membuka khemah di hadapan rumah. Jadi, laman jiran di kiri dan kanan rumahnya menjadi ruang makan para undangan. Jadi, rumah saya seperti mengadakan kenduri hari ini.  Ada rakan yang menelefon, "hai kenduri tak ajak ke"?

Alamak!! Bukan saya yang kenduri, jiran sebelah..takkan nak ajak pula...

Saya suka sangat dekorasi pelamin yang disediakan untuk menyarung cincin bakal pengantin..simple tetapi menarik dan moden..mulalah saya berangan nak buat pelamin.. tapi untuk majlis siapa ya??Hahahaha.

 Ini pula gubahan untuk hantaran yang disediakan untuk pihak lelaki. Hasil tangan jiran saya sendiri..simple but sweet..saya suka sangat..




Sireh junjung merupakan simbolik dalam adat masyarakat Melayu yang tidak dilupakan dalam majlis pertunangan atau perkahwinan..

Cake daripada Cupercake menjadi pemanis kepada hantaran melambangkan kita perlu bermanis-manis dalam menjalinkan hubungan silaturrahim

Tiga helai tuala yang digubah cantik.

Cantik hantarannya. Saya mula mendapat idea untuk buat gubahan hantaran pula. Balik nanti saya nak buat gubahan hantaran untuk adik ipar yang bakal berkahwin Jun nanti. Sebab tulah orang kata jauh berjalan banyak pengetahuan yang diperoleh. Saya tak berjalan jauh pun. Sebelah rumah sahaja tapi dah dapat idea baru.

Kasih sehingga ke hujung nyawa

Hari ini hari Sabtu..Pagi-pagi lagi saya mencecahkan kaki ke Pasar Tani Setiawangsa, KL. Sebenarnya saya jarang ke pasar kerana biasanya suami saya yang membeli belah barang  basah dapur tapi hari ni saya pergi kerana beliau berada di luar negara.

Saya memang suka jalan-jalan kat pasar tak kiralah pasar apa pun. Pasar tani, pasar malam, pasar minggu dan paling saya suka pasar raya sebab banyak kemudahan dan lebih selesa.

Pasar tani Setiawangsa!! Abah saya panggil pasar tani orang kaya-kaya. Harga ikan paling murah RM5 sekilo dan ada ikan dijual dengan harga RM200 lebih seekor. Permintaan tinggi sebab tulah ada penawaran. Ramai yang membeli ikan berharga beratus ratus ringgit tu..wahh!! Agaknya boleh kenyang seminggu kalau makan ikan tu.

Udang galah yang dijual juga mencecah RM60 sekilo. Besar-besar udang galah tu.....nasib baik saya tak minat sangat udang kalau tak..tak tahulah, melayang lah kot RM.

Paling mengejutkan saya adalah kacang panjang.. 3 batang kacang panjang berharga RM1.50. Bagi saya mahal sebab biasa saya beli kat tempat lain RM1 tu banyak batang lah juga..

Sedang asyik memerhati barang-barang yang dijual, mata saya telah tertarik kepada sepasang suami isteri warga emas. Pada pandangan saya umur mereka mungkin telah mencecah 60 tahun ke atas.

Apa yang menarik perhatian saya adalah mereka kelihatan sangat mesra, berjalan berpegangan tangan dan terpancar kasih sayang dari redupan mata mereka. Apabila makcik itu ingin membeli buah, pakcik itu memilih buah yang ingin dibeli sambil memegang mesra bahu isterinya.

Entah kenapa, saya terfikir pula bagaimana saya apabila usia telah lanjut satu masa nanti..Saya berdoa kepada Allah agar saya seperti mereka. Kasih sayang yang tetap terpahat walaupun sudah jalan terbongok-bongkok dan pastinya wajah sudah berkedut-kedut. Insya Allah.


Friday 9 March 2012

Doa saya untuknya

Hari ini saya membawa pelajar saya yang bermasalah (yang saya ceritakan dalan entri sebelum) bertemu dengan seorang yang berjiwa murni. Seorang ustaz merangkap peguam, konsultan dan juga merupakan seorang usahawan berjaya yang memiliki sebuah pusat latihan keusahawanan bertauliah. Beliau boleh dikategorikan sebagai seorang jutawan juga kerana memiliki pelbagai rangkaian perniagaan seperti restoran, pasar mini halal, car wash, catering & canopy dan sebagainya..

Saya kagum dan terharu kerana beliau sanggup mengutip anak murid saya yang telah dibuang keluarga, dibuang sekolah dan juga hampir menjadi sampah masyarakat. Semua orang disekeliling memandang serong dan menganggapnya sebagai tak berguna dan menyusahkan hidup orang lain.

Perkara pertama yang ustaz ini lakukan apabila bertemu mata dengan anak murid saya ini adalah menyuruhnya membaca ayat suci Al-Quran. Ternyata dia tidak dapat membacanya.

Itulah punca kepada segala permasalahan. Seorang anak yang tidak dididik dengan sempurna dengan keagamaan. Saya boleh melihat kesan ke atas anak ini. Hidup tanpa impian, tanpa pedoman, tanpa pegangan dan tanpa apa-apa kepercayaan dalam dirinya. Yang ada dalam hidupnya adalah cahaya suram di lorong yang sempit.

Anak ini, jika dibiarkan akan menjadi sampah masyarakat yang terjerumus kepada segala permasalahan seperti penagihan dadah, penyeluk saku, peragut, pembunuh, perogol dan sebagainya. Siapa yang sanggup peduli? Siapa yang sanggup mendidiknya? Semua mungkin akan menjawab, `ibu bapa dia pun tak boleh nak ajar, apatah lagi kita'. Secara jujurnya saya sendiri pun tidak mampu untuk mengutip dan membimbingnya. Kerana saya tiada keupayaan dari pelbagai segi.

Saya bersyukur kerana dipertemukan dengan seorang yang sanggup mendidik anak ini tanpa apa-apa bayaran. Menerima dengan tangan terbuka dan hati yang luhur dan ikhlas tanpa mengaharapkan apa-apa balasan.

"Cikgu jangan risau, saya akan menganggapnya seperti adik saya". Saya akan didiknya bersolat dan mempercayai kewujudan Allah. Saya akan berusaha memperbetulkan aqidahnya. Saya akan menjadikannya seorang yang beriman dan berguna kepada masyarakat. " Jelas ustaz tersebut sebelum saya meninggalkan mereka.

Doa saya..semoga Allah memberi petunjuk dan hidayah kepada anak murid saya ini. Sanggup berubah untuk dirinya sendiri, untuk keluarganya, untuk orang-orang disekelilingnya dan yang paling penting untuk agama. Saya harap anak ini sedar yang dia adalah insan yang dipilih oleh Allah untuk mendapat cahayaNya berbanding  ramai lagi rakan-rakannya yang masih merempit di luar sana.